PeraturanSukan.my

Bola jaring · edisi 2024

Peraturan Bola Jaring

Bola jaring dimainkan oleh dua pasukan, tujuh pemain sepasukan, selama empat suku 15 minit. Pemegang bola mesti menghantar atau menjaring dalam 3 saat. Gol hanya dikira jika GS atau GA menjaring dari dalam bulatan gol.

  • 7pemain sepasukan di gelanggang
  • 4 × 15minempat suku permainan
  • 3smasa maksimum memegang bola
  • 0.9mjarak minimum pemain yang menghalang

Ukuran gelanggang bola jaring

Rajah ukuran gelanggang bola jaringGelanggang 30.5 meter panjang dan 15.25 meter lebar, dibahagi kepada tiga bahagian sama besar. Bulatan gol separuh bulatan berjejari 4.9 meter di setiap hujung, bulatan tengah bergaris pusat 0.9 meter, dan kawasan sekeliling 3.05 meter.15.25 m30.5 m≈ 10.17 mj 4.9 mSatu pertiga golSatu pertiga tengahBulatan tengah Ø 0.9 mSatu pertiga golBulatan golKawasan sekeliling 3.05 m
Ikut skala, kecuali tebal garisan. Titik merah ialah tiang gol di tengah garisan gol. Dilukis daripada ukuran World Netball, Rules of Netball 2024 (Peraturan 1).

Gelanggang bola jaring ialah segi empat tepat 30.5 m panjang dan 15.25 m lebar. Dua garisan melintang membahagikannya kepada tiga bahagian yang sama besar: satu pertiga tengah, dan satu pertiga gol di setiap hujung.

Ukuran gelanggang (World Netball 2024, Peraturan 1)
BahagianUkuran
Panjang (garisan sisi)30.5 m
Lebar (garisan gol)15.25 m
Setiap satu pertiga30.5 ÷ 3, lebih kurang 10.17 m
Bulatan tengahgaris pusat 0.9 m
Bulatan golseparuh bulatan, jejari 4.9 m dari titik tengah sisi luar garisan gol
Lebar garisan50 mm
Kawasan sekeliling3.05 m dari garisan gol dan garisan sisi

Garisan dikira sebahagian daripada kawasan yang dibatasinya. Sebab itu tembakan oleh pemain yang berdiri di atas garisan bulatan gol tetap dikira dari dalam bulatan.

Posisi bola jaring dan kawasan pemain

Setiap pemain memakai huruf posisi setinggi 150 mm, di depan dan di belakang badan. Huruf itu menentukan kawasan mana yang boleh dimasuki. Ini jadual kedudukan pemain bola jaring ikut buku peraturan:

Posisi bola jaring dan kawasan yang dibenarkan
HurufNama dalam buku peraturanMaksud ringkasKawasan
GSGoal Shooterpenjaring1, 2
GAGoal Attackpenyerang gol1, 2, 3
WAWing Attackpenyerang sayap2, 3
CCentrepemain tengah2, 3, 4
WDWing Defencepertahanan sayap3, 4
GDGoal Defencepertahanan gol3, 4, 5
GKGoal Keeperpenjaga gol4, 5

Nombor kawasan dikira ikut arah serangan setiap pasukan: 1 ialah bulatan gol yang pasukan itu serang, 2 satu pertiga serangan, 3 satu pertiga tengah, 4 satu pertiga pertahanan, dan 5 ialah bulatan gol yang dipertahankannya. Kawasan ini tidak berubah walaupun bola dipegang lawan. GS dan GA sahaja yang boleh masuk bulatan gol serangan, dan hanya mereka yang boleh menjaring.

Pilih posisi

Kawasan yang dibenarkan untuk posisi itu akan bertukar kuning pada rajah.

Contoh: tekan GA untuk melihat tiga kawasan yang boleh dimasukinya.

Kawasan permainan bola jaring bernombor 1 hingga 5Dilihat dari sudut pasukan yang menyerang ke atas: 1 bulatan gol serangan, 2 satu pertiga serangan, 3 satu pertiga tengah, 4 satu pertiga pertahanan, 5 bulatan gol pertahanan.12345arah serangan
Nombor kawasan dikira dari sudut pasukan yang menyerang ke arah atas rajah. Bagi pasukan lawan, nombornya terbalik.

Ofsaid

Pemain yang masuk ke kawasan yang bukan untuk posisinya dikira ofsaid, sama ada dia menyentuh bola atau tidak. Lawan dapat hantaran bebas di tempat dia masuk. Menyentuh garisan sempadan kawasan masih dibenarkan, asalkan tidak melepasinya. Pemain juga boleh menjangkau ke kawasan ofsaid untuk mengambil bola, selagi badannya tidak menyentuh lantai di kawasan itu.

Berapa pemain minimum?

Pasukan boleh bermain dengan sekurang-kurangnya 5 orang, dan salah seorang mesti bermain sebagai C. Jika tidak cukup 5 pemain, perlawanan diberikan kepada pasukan lawan.

Peraturan utama bola jaring

Peraturan 3 saat

Selepas mendapat bola, pemain ada 3 saat untuk menghantar atau menjaring. Lebih daripada itu, lawan diberi hantaran bebas.

Gerak kaki

Cara pemain mendarat semasa menangkap bola menentukan kaki mana yang boleh diangkat.

Mendarat dengan sebelah kaki

Kaki pendaratan menjadi pangsi. Pemain boleh melangkah dengan kaki kedua ke mana-mana arah, malah berpusing di atas kaki pendaratan. Kaki pendaratan boleh diangkat, tetapi bola mesti dilepaskan sebelum kaki itu mencecah lantai semula.

Mendarat dengan dua kaki serentak

Pemain boleh melangkah dengan mana-mana satu kaki. Kaki yang tinggal menjadi pangsi. Kaki pangsi boleh diangkat, tetapi bola mesti dilepaskan sebelum kaki itu mencecah lantai semula.

Pemegang bola tidak boleh:

  • menyeret atau menggelongsorkan kaki pendaratan
  • melompat-lompat di atas sebelah kaki
  • melompat dari dua kaki dan mendarat semula atas dua kaki sambil masih memegang bola
  • jatuh ke lantai, kemudian menjejakkan semula kaki pendaratan

Cara mendapat bola

  • Tangkap dengan sebelah atau kedua-dua tangan.
  • Golekkan bola kepada diri sendiri.
  • Tangkap bola yang melantun dari tiang gol.
  • Tepis bola sekali, atau lantunkan sekali, kemudian tangkap.

Yang tidak dibenarkan pula: menendang bola, menumbuk bola, menggolekkan bola kepada rakan sepasukan, menghantar atau menjaring sambil baring, duduk atau melutut, dan berpaut pada tiang gol. Selepas melepaskan bola, pemain tidak boleh menyentuhnya semula sehingga bola itu menyentuh pemain lain atau melantun dari tiang gol.

Hantaran pendek dan bola melepasi satu pertiga

Setiap hantaran mesti memberi ruang yang cukup untuk pemain lawan memintas bola di antara tangan penghantar dan penerima. Kalau terlalu rapat, itu hantaran pendek.

Bola juga mesti ditangkap atau disentuh dalam setiap satu pertiga. Hantaran dari satu pertiga gol terus ke satu pertiga gol di hujung lagi satu ialah kesalahan "melepasi satu pertiga". Hantaran bebas diambil di garisan melintang tempat bola mula masuk ke satu pertiga yang salah.

Menghalang: jarak 0.9 m

Pemain bertahan boleh cuba memintas atau mengawal pemegang bola dengan syarat jaraknya tidak kurang daripada 0.9 m. Jarak diukur di lantai, dari kaki pendaratan pemegang bola ke kaki pemain bertahan yang paling dekat.

Dalam jarak 0.9 m, pemain bertahan tidak boleh mengganggu hantaran atau tembakan. Kesalahan ini dihukum dengan hantaran penalti.

Jarak 0.9 meter diukur di lantai dari kaki pendaratan pemegang bola ke kaki pemain bertahan yang paling dekat0.9 mkaki pendaratankaki terdekat
Merah: pemain yang memegang bola. Hitam: pemain bertahan. Jarak diukur di lantai.

Sentuhan

Menolak, menjegal, memegang, bersandar pada lawan, memukul lawan atau meletakkan tangan pada bola yang dipegang lawan ialah sentuhan jika ia mengganggu permainan lawan secara tidak adil, sama ada sengaja atau tidak. Hukumannya hantaran penalti. Sentuhan kecil yang tidak menjejaskan sesiapa dikira perebutan biasa dan tidak dihukum.

Hantaran bebas atau hantaran penalti?

Kesalahan yang disebut di halaman ini dan hukumannya
KesalahanHukumanPeraturan
Pegang bola lebih 3 saatHantaran bebas11.4
Kesalahan gerak kakiHantaran bebas13
OfsaidHantaran bebas14
Hantaran pendekHantaran bebas12.1
Melepasi satu pertigaHantaran bebas12.3-12.4
Menghalang dalam 0.9 mHantaran penalti16
SentuhanHantaran penalti17

Hantaran bebas ialah hukuman untuk kesalahan kecil, dan pemain yang mengambilnya tidak boleh terus menjaring. Hantaran penalti untuk kesalahan besar: pemain yang bersalah berdiri di sebelah pengambil hantaran, jauh sedikit, dan tidak boleh bergerak sehingga bola dilepaskan. Jika GS atau GA mendapat hantaran penalti di dalam bulatan gol, dia boleh pilih untuk menghantar atau terus menjaring.

Menjaring dan hantaran tengah

  1. Gol dikira apabila bola melepasi gelung sepenuhnya selepas tembakan GS atau GA dari dalam bulatan gol.
  2. Jika pemain bertahan tersentuh bola dan bola masih masuk, gol tetap dikira.
  3. Selepas setiap gol, permainan bermula semula dengan hantaran tengah. Giliran hantaran tengah bertukar antara C kedua-dua pasukan.
  4. C yang mengambil hantaran tengah mesti berdiri dengan sekurang-kurangnya sebelah kaki sepenuhnya di dalam bulatan tengah, dan melepaskan bola dalam 3 saat.

Masa permainan bola jaring

Perlawanan penuh ialah empat suku, setiap satu 15 minit. Pasukan bertukar hujung gelanggang setiap suku.

  1. Suku pertama15 min
  2. Rehat4 min
  3. Suku kedua15 min
  4. Separuh masa12 min
  5. Suku ketiga15 min
  6. Rehat4 min
  7. Suku keempat15 min

Rehat separuh masa ialah 12 minit. Ia boleh dipendekkan kepada 8 minit jika penganjur dan kedua-dua pasukan bersetuju.

Bola dan tiang gol bola jaring

Ukuran peralatan (World Netball 2024, Peraturan 1.13 hingga 1.15)
PeralatanUkuran
Bola, lilitan690-710 mm
Bola, berat400-450 g
Tinggi tiang gol3.05 m
Garis pusat tiang65-100 mm
Gelungrod besi 15 mm, garis pusat dalam 380 mm, dipasang pada palang mendatar 150 mm
Jaring gelung380-457 mm panjang, terbuka di atas dan bawah
Pelapik tiangtebal tidak lebih 50 mm

Bola jaring di sekolah dan pertandingan junior

Peraturan 21 dalam buku World Netball membenarkan penganjur menyesuaikan permainan untuk pemain muda dan pertandingan peringkat bawah. Antara contoh yang disenaraikan:

  • bermain di gelanggang luar
  • dua separuh masa hingga 20 minit sebagai ganti empat suku, atau suku dan rehat yang lebih pendek
  • tiang gol yang lebih rendah atau bola yang lebih kecil untuk murid sekolah rendah
  • pasukan campuran lelaki dan perempuan

Selain had 20 minit untuk separuh masa, buku peraturan tidak menetapkan angka untuk penyesuaian ini (contohnya tinggi tiang atau saiz bola). Untuk perlawanan sekolah atau daerah, ikut syarat pertandingan yang diedarkan oleh penganjur.

Kemahiran asas bola jaring (DSKP Tingkatan 1)

Dalam Pendidikan Jasmani KSSM, bola jaring diajar di Tingkatan 1 di bawah Kategori Serangan. Standard Kandungan 1.4 ialah "Melakukan kemahiran asas bola jaring dengan lakuan yang betul". Enam standard pembelajarannya, diringkaskan:

  1. 1.4.1Menghantar bola ke pelbagai arah dalam situasi permainan.
  2. 1.4.2Menerima bola dengan dua tangan dan sebelah tangan, dari pelbagai arah dan aras.
  3. 1.4.3Gerak kaki selepas menangkap bola: mendarat dengan dua kaki, sebelah kaki dan 1½ langkah.
  4. 1.4.4Menjaring secara statik dan menjaring gerak selangkah dari pelbagai jarak.
  5. 1.4.5Mengadang dari posisi belakang, sisi dan depan.
  6. 1.4.6Mengacah (dodge).

Bahagian kognitif, Standard Kandungan 2.4 (2.4.1 hingga 2.4.7), meminta murid menerangkan kemahiran yang sama. Contohnya memilih jenis hantaran ikut situasi, mengenal pasti kaki yang melangkah selepas mendarat, dan peranan pivot dalam gerak kaki.

Rujukan: DSKP KSSM Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Tingkatan 1 (Bahagian Pembangunan Kurikulum, terbitan 2015), muka surat 45 hingga 47.

Sumber rujukan

Rajah gelanggang di halaman ini dilukis sendiri daripada angka dalam buku peraturan, bukan disalin daripada rajah buku itu.

Tentang, privasi dan penafian

Tentang PeraturanSukan.my

PeraturanSukan.my meringkaskan peraturan bola jaring, bola tampar dan sepak takraw dalam Bahasa Melayu untuk murid, guru Pendidikan Jasmani dan sesiapa yang bermain. Laman ini ditulis dan diselenggara oleh Edwin Tan, yang menyusun setiap halaman daripada buku peraturan badan induk yang dinamakan dan menyemak angkanya dengan buku itu.

Laman ini bebas. Ia tiada kaitan dengan World Netball, FIVB, ISTAF, Kementerian Pendidikan Malaysia atau mana-mana persatuan sukan, dan tidak mewakili mereka.

Hubungi

E-mel: hello@peraturansukan.my

Jumpa angka yang tidak sama dengan buku peraturan? Hantar e-mel dengan nombor peraturan yang anda rujuk.

Penafian

Halaman ini ringkasan untuk belajar dan latihan, bukan pengganti buku peraturan badan induk. Dalam perlawanan, keputusan pengadil dan syarat pertandingan penganjur yang terpakai. Angka disemak dengan sumber yang disenaraikan pada 19 Oktober 2026.

Privasi

Laman ini tiada borang dan tidak meminta anda mendaftar. Papan mata dan alat lain di laman ini berjalan dalam pelayar anda sahaja; mata yang anda tekan tidak dihantar ke mana-mana. Jika anda menghantar e-mel kepada kami, alamat dan isinya digunakan untuk membalas sahaja, selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Kami mungkin menggunakan alat analitik (jika ada) untuk mengira jumlah lawatan secara agregat. Sesetengah alat analitik menggunakan kuki. Data ini tidak digunakan untuk mengenal pasti anda.

Ramai pembaca laman ini murid sekolah, jadi iklan Google AdSense (jika ada) ditetapkan sebagai kandungan untuk kanak-kanak dan tidak diperibadikan mengikut minat. Untuk makluman, pembekal pihak ketiga, termasuk Google, menggunakan kuki untuk memaparkan iklan berdasarkan lawatan terdahulu pengguna ke laman ini dan laman lain. Kuki pengiklanan Google membolehkan Google dan rakan kongsinya memaparkan iklan berdasarkan lawatan tersebut.

Anda boleh menutup iklan yang diperibadikan di Tetapan Iklan Google, atau menolak kuki pembekal pihak ketiga di www.aboutads.info. Kuki juga boleh dipadam atau disekat melalui tetapan pelayar.